Peluang Meraih Pahala Jariah

WAKAF KHAS – KOMPLEKS PERHATIN

Sumbangan dana bagi membina Bangunan – ‘Kompleks ‘PERHATIN’ adalah salah satu bentuk peluang untuk para penyumbang meraih pahala sedekah jariah yang sentiasa mengalir. Selagi bangunan ini digunakan bagi tujukan khairat-kebajikan khasnya untuk kemudahan anak yatim dan miskin, insyaAllah pahalanya akan terus dinikmati oleh para pewakaf.

Jariah bermaksud amalan baik yang memberi manfaat berterusan kepada pelakunya mungkin hingga ke hari akhirat. Kalimah jaariatun ( جَارِيَةٌ ) bererti mengalir tanpa henti yang berasal dari kalimah ja-ra  ( جَرَى ) bererti mengalir, hanyut, berlari.

فِيهَا عَيْنٌۭ جَارِيَةٌۭ ١٢

“Di dalam Syurga itu ada matair yang mengalir

(Al-Ghaasyiyah 88:12)

Dalam satu hadis Rasulullah SAW yang masyhur dan diriwayatkan oleh ramai perawi hadis, dinyatakan perihal amalan-amalan jariah. Dengan izin Allah SWT ia akan terus menerus memberikan manfaat pahala kepada si pemberi walaupun dia telah meninggal dunia. Syaratnya selagi barang atau perkara asal itu masih wujud dan berterusan mengalirkan manfaat.

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

 “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Para ulama menetapkan bahawa sedekah jariah yang dimaksudkan dalam hadis ini antaranya adalah sedekah harta WAKAF.

APAKAH ITU WAKAF?

 Kalimah wakaf atau Bahasa Arabnya – wa-qa-fa ( وَقَفَ ) bererti berdiri tegak, berhenti, menahan, menghalang, mengawal. Dari segi istilah syarak, wakaf bermaksud apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat. Harta tersebut dikekalkan sumber fizikalnya untuk tujuan kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.

GALAKAN BERWAKAF

Dalam sebuah hadis, Saidina Umar al-Khattab telah mewakafkan hartanah miliknya di Khaibar setelah mendapat nasihat daripada Baginda Rasulullah SAW.

Daripada Ibni Umar RA dia berkata: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Nabi SAW untuk minta pandangan tentang tanah itu, maka katanya yang bermaksud: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, di mana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah Azzawajalla) apakah yang hendak engkau perintahkan kepadaku dengannya?” Maka sabda Rasulullah SAW kepadanya yang bermaksud: “Jika engkau suka TAHANLAH (BEKUKAN) TANAH ASAL itu, dan sedekahkan manfaatnya.”Maka Umar memberi sedekah dengannya syarat ia tidak dijual, tidak dihibah, tidak diwariskan, dan dia memberi sedekah kepada orang fakir, saudaranya yang hampir, hamba untuk dimerdekakan, pejuang pada jalan Allah, orang musafir, tetamu, malah tidak menjadi suatu kesalahan jika penjaga harta tersebut memakannya pada kadar yang wajar dan baik, dan memberi makan orang lain serta tidak mengumpulnya untuk simpanan.

Riwayat al-Bukhari (2737)

Seterusnya, ganjaran pahala yang berkaitan amalan berwakaf pada firman Allah SWT:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya …”

(Al-Baqarah 2:261)

APAKAH JENIS WAKAF

 PertamaWakaf Ahli (Keluarga) atau Wakaf Dzurri. Kalimah dzurri / dzurriyatun ( ذُرﱢيةٌ ) bererti anak cucu, keturunan. Iaitu wakaf di mana penerima manfaat harta wakaf adalah dalam kalangan ahli keluarga dan keturunan si pewakaf.

KeduaWakaf Khairi / khairun ( خَيْرٌ ) bererti yang lebih baik, yang lebih afdal (utama). Ia berasal daripada kalimah kha-ra ( خَارَ ) bererti melebihi dari lainnya. Juga dikenali sebagai Wakaf Kebajikan di mana wakaf ini untuk tujuan kebaikan dan kebajikan semata-mata.

Wakaf Khairi ini pula terbahagi kepada dua; 1) Wakaf Khas – iaitu harta yang diwakafkan untuk tujuan yang khas dan tertentu, serta si penerima manfaat juga telah ditetapkan. Seperti wakaf tanah untuk didirikan masjid atau surau. Wakaf bangunan madrasah untuk pelajar tahfiz, rumah asrama menempatkan anak-anak yatim, rumah tumpangan bagi orang miskin, musafir atau gelandangan.

Justeru, pembinaan ‘Kompleks PERHATIN’ – Asrama Anak Yatim / Miskin Bandaraya Shah Alam adalah WAKAF KHAS.

2) Wakaf Am iaitu wakaf secara umum yang tidak ditetapkan pihak penerima manfaat daripada harta yang diwakafkan oleh si pewakaf. Maka terpulang kepada pengurus harta wakaf untuk mengagihkan apa jua bentuk manfaat yang dihasilkan kepada mana-mana pihak yang memerlukan, agar pahalanya berterusan kembali kepada si pewakaf.

RUKUN WAKAF

 Rukun wakaf ada empat perkara. Ia perlu dipatuhi bagi melengkapkan urusan wakaf yang sah di sisi agama dan perundangan Islam. Ia meliputi:

1) Wakif ( وَاقِف ) – Pewakaf.

2) Mawquf ( مَوْقُوف ) – Harta yang Diwakafkan.

3) Mawquf ‘alaih ( مَوْقُوف عَلَيه ) – Penerima Manfaat Wakaf.

4) Sighah ( صِيْغَة ) – Penyataan Wakaf.

Justeru, dalam konteks – Wakaf Khas ‘Kompleks PERHATIN’

1) Wakif – Pewakaf (Anda / Syarikat / Entiti).

2) Mawquf – Bangunan ‘Kompleks PERHATIN’ dan Kemudahan Berkaitan Kompleks.

3) Mawquf ‘alaih – Anak-Anak Yatim / Miskin.

4) Sighah – “Saya Menyumbang Wakaf Tunai Yang Berjumlah RM…. Kerana Allah SWT.”

 

WAKAF TUNAI

Wang yang diwakafkan untuk tujuan pembelian aset, pembangunan aset, pinjaman, pelaburan atau perkara-perkara lain yang menepati hukum syarak.

KENYATAAN FATWA

Jumhur Ulama’ iaitu Mazhab Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki mengharuskan Wakaf Harta Alih (Instrumen Wang Tunai) berasaskan kepada kenyataan bahawa semua harta yang harus dijual dan boleh mendatangkan manfaat dan kekal zatnya, maka boleh diwakafkan.

Harus melaksanakan Wakaf Tunai sebagai Harta Wakaf dengn syarat-syarat berikut:

1) Nilai asal wang yang diwakafkan hendaklah sentiasa dikembangkan dan meningkat;

2) Sebarang pembelian aset hendaklah menepati hukum syarak; dan

3) Lain-lain syarat yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)

(Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2017 yang bersidang pada 17hb. Oktober 2017)

 “BERWAKAF DALAM BENTUK WANG TUNAI adalah DIBOLEHKAN di dalam ISLAM.”

(Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman)

Allah SWT Sahajalah Yang Maha Mengetahui.