Tolakan Cukai
Sumbangan Wakaf Khas Pembinaan ‘Kompleks PERHATIN’ boleh mendapat potongan cukai bagi para penyumbang – sama ada individu atau syarikat apabila membuat pengisytiharan cukai tahunan masing-masing.
Berkuatkuasa 1hb. Mei 2021, sumbangan Wakaf Tunai melalui Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) layak mendapat potongan atau tolakan cukai bagi maksud pengiraan pendapatan agregat di bawah subseksyen 44 (11D) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Jumlah potongan yang dibenarkan adalah sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.
Di Bahagian – Derma / Hadiah / Sumbangan dalam Borang Nyata Cukai, salah satu potongan yang layak diberikan adalah untuk – Hadiah wang dalam bentuk wakaf kepada pihak berkuasa agama / badan agama / universiti awam atau hadiah wang dalam bentuk endowman kepada universiti awam.
Misal derma lain yang layak diberikan potongan adalah bagi hadiah wang kepada Kerajaan, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan atau institusi atau organisasi atau tabung yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri – subseksyen 44 (6), ACP 1967.
Contoh pengiraan. Pendapatan agregat En. Ahmad daripada Perniagaan Usaha Barkah (pemilikan tunggal) bagi tahun 2022 adalah RM200,000.00. Jadi, jumlah hadiah dan sumbangan yang dibenarkan untuk potongan adalah – 10 % X RM 200,000.00 = RM20,000.00.
Kemudian En. Ahmad membuat sumbangan Wakaf Tunai sebanyak RM20,000.00 melalui PWS bagi projek wakaf khas yang telah diluluskan dan menerima resit pengesahan pemberian sumbangan.
Maka En. Ahmad layak membuat potongan dalam perisytiharan cukai tahun 2022 seperti berikut:
RM200,000.00 – RM20,000.00 = RM180,000.00. Maka RM180 ribu adalah jumlah pendapatan akhir yang akan dikenakan cukai mengikut kadar ditetapkan LHDN.
